PTI diberi dokumen dan Pulau Penempatan jika kemasukan beramai-ramai- Shafie Apdal
09:04 Apr 17, 2019  |  By SabahKini2
PTI diberi dokumen dan Pulau Penempatan jika kemasukan beramai-ramai- Shafie Apdal

Pulau-pulau yang berhampiran dengan sempadan Filipina telah dikenalpasti dan atas dasar perikemanusiaan serta pusat rawatan asas sekiranya perkara ini terjadi.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan negeri Sabah mengeluarkan kad pengenalan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Kita (Kerajaan Negeri Sabah) tidak mengeluarkan kad pengenalan dan dakwaan kita memberikan kad pengenalan kepada PATI adalah tidak benar,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini semalam.

Mohd Shafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang berkata kerajaan negeri tegas dalam menangani kehadiran PATI di negeri ini termasuklah menghantar balik ke negara asal bagi PATI yang ditangkap oleh pasukan keselamatan.

Menurutnya mana-mana warganegara asing yang ditangkap kerana tiada dokumen pengenalan diri harus dihantar balik dan tidak ditahan untuk tempoh lama di Rumah Merah (Pusat Tahanan Sementara).

Bagaimanapun Shafie mengesahkan akan mengeluarkan dokumen kepada warga asing termasuk membuat pemutihan terhadap mereka di negeri ini.

“Kita minta kerajaan Filipina kalaupun mereka tidak mau membuka pejabat di sini, sekurang-kurangnya ada landasan untuk mendaftar rakyat mereka.

“Itu antara usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan. Bukannya kita memberikan dokumen, kad pengenalan atau surat beranak kepada mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) berkenaan jalan penyelesaian kerajaan negeri berkaitan masalah warga asing yang berada di Sabah serta isu pemberian dokumen terhadap PTI dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-15, di sini hari ini.

Beliau menegaskan keperluan warga asing rakyat Filipina dan Indonesia sangat diperlukan dalam sektor pertanian, perladangan mahupun pembinaan. Pemutihan mereka akan membantu mengisi pekerjaan dalam sektor itu.

“Kita sedari keadaan dan usaha kita mengenal pasti mereka (PTI). Jika perlu, kita dokumenkan.

“Nasihat dan pandangan saya kepada Duta Filipina dan Indonesia, sekiranya mereka mahukan rakyat mereka yang datang ke sini untuk mencari pekerjaan, dokumenkan mereka, isukan pasport kepada mereka kerana mereka bukan rakyat Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu Shafie Apdal menjelaskan Kerajaan negeri akan mengambil pendekatan baharu iaitu menempatkan pendatang di pulau-pulau berhampiran sempadan sekiranya berlaku kemasukan beramai-ramai dari Selatan Filipina.

Langkah ini ialah untuk mengelak pendatang-pendatang tersebut daripada masuk ke bumi Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya pulau-pulau yang berhampiran dengan sempadan Filipina telah dikenalpasti dan atas dasar perikemanusiaan akan mempunyai ciri-ciri keselamatan serta pusat rawatan asas sekiranya perkara ini terjadi.

“Mungkin mereka ini datang kerana terdapat masalah di negara mereka,” katanya.

“(Namun) kita kena belajar daripada kejadian-kejadian dahulu sejak tahun 70-an dan 80-an (apabila terdapat influx atau kemasukan beramai-ramai dari Selatan Filipina) dan kita terpaksa menampung pendatang-pendatang ini.

“Kita kena bijak dalam mengurus isu ini. Jangan lagi terjadi hal sedemikian. Kita tidak mahu mereka masuk ke bumi Sabah sehingga boleh menjejaskan keadaan keselamatan di peringkat negeri,” jelasnya.

Walaubagaimanapun Shafie Apdal tidak menjelaskan mengenai usaha kerajaan negeri membantu suami warganegara tempatan yang berkahwin dengan warga asing untuk mendapat MyKad sebagaimana kenyataan beliau sebelum ini. Ia termasuk mengatasi masalah anak-anak Stateless (Anak-anak tanpa negara).

Projek IC 2: Shafie bantu dapatkan MyKad yang kahwin pendatang asing

[ARTIKEL BERKAITAN- Projek IC 2: Shafie bantu dapatkan MyKad yang kahwin pendatang asing]

[ ARTIKEL BERKAITAN:-

Kerajaan negeri akan beri dokumen kepada pekerja asing haram di Sabah

(VIDEO) Timbalan Menteri KDN mengaku kerajaan akan beri dokumen kepada PATI

 

26 Comments