PKPB Kuasa MKN: Kerajaan Negeri 'acah-acah' tunjuk kuasa, rakyat derita, buang kerja, hilang pendapatan lepas tu U-Turn!
05:05 May 03, 2020  |  By SabahKini2
PKPB Kuasa MKN: Kerajaan Negeri 'acah-acah' tunjuk kuasa, rakyat derita, buang kerja, hilang pendapatan lepas tu U-Turn!

Sarawak ala-ala MA63, Sabah 'Gustan' Kedah dan Selangor tahu kuasa MKN

Kerajaan memberi kebenaran sektor ekonomi secara berperingkat sejak PKP1 hinggalah PKP4. Sektor dibenarkan dari rantaian makanan hingga kepada merancakkan ekonomi. Rakyat bukan bodoh mengenai SOP. Jangan kemaruk kuasa rakyat derita hilang pekerjaan..

1 Mei lalu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei.

PKPB membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi semula tetapi secara berhati-hati dengan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Terlalu banyak kekeliruan dan kebimbangan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun seperti dijelaskan oleh Menteri Kanan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa dan individu yang melanggar peraturan akan tetap dikenakan tindakan walaupun PKP Bersyarat (PKPB) akan bermula Isnin ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata polis masih mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang melanggar PKP mengikut Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Pelaksanaan PKP tidak ditarik balik walaupun kerajaan mengumumkan mengenai PKPB. Ia (PKPB) cuma dilonggarkan kepada sektor tertentu untuk beroperasi dan tindakan tetap dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai PKP, di sini.

PKPB adalah kesedaran kerajaan cakna akan kehidupan rakyat di akar umbi dan memberi peluang kepada mereka terutama pemilik warung dan gerai untuk menjana pendapatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan menutup mana-mana premis yang didapati melanggar SOP ditetapkan.

"Kita beri peluang kepada mereka untuk cari pendapatan walaupun sedikit. Sekurang-kurangnya boleh berniaga di depan rumah. Ini tidak bermakna PKP ditarik balik, ia hanya dilonggarkan.

Kerajaan sedar perang COVID-19 masih belum selesai, kerajaan menasihatkan orang ramai agar terus berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri ketika PKPB.


Langkah Sarawak terbawa-bawa MA63

Sementara itu Kerajaan Negeri Sarawak memutuskan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan membuka semula aktiviti dan sektor ekonomi tertentu Isnin ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata keputusan di bawah tiga fasa terakhir MCO akan dikekalkan sehingga kajian kerajaan negeri mengenai implikasi pembukaan semula kegiatan ekonomi selesai.

“Dengan mengambil kira keadaan di Sarawak dari segi kes COVID-19, kemampuan logistik, kemampuan Jabatan Kesihatan dan keadaan geografi, SDMC mendapati kebanyakan standard pematuhan pembukaan semula kegiatan ekonomi tidak kondusif di negeri ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata SDMC perlu memastikan pembukaan semula kegiatan dan sektor ekonomi sesuai dengan keadaan negeri dan pembukaan semula kegiatan ekonomi akan diumumkan secara berperingkat setelah setiap perincian prosedur operasi standard dan garis panduan diteliti.

“Selain itu, pihak yang telah mendapat kelulusan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) semasa PKP 4, mereka perlu mendapatkan kelulusan kerajaan negeri melalui SDMC untuk diteliti permohonan mereka sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya.

Sarawak yang sentiasa menggunakan alasan MA63  memang terkenal dengan dasar yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat.

Ironis

Langkah kerajaan Sarawak tidak mahu memberi peluang rakyatnya terlibat dengan kegiatan ekonomi hanya memburukkan keadaan. Dalam keadaan rakyat hidup susah, kehilangan pendapatan dan pekerjaan sudah tentu usaha melengahkan keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya akan terus membebankan rakyat.

Bagaimanapun sangat ironis sektor pembalakan, perhutanan dan perkilangan kayu dibenarkan beroperasi sejak PKP pertama atas alasan sektor ekonomi dan pekerjaan dengan syarat mematuhi SOP ditetapkan KKM, MKN dan Kerajaan Negeri. Semua pun demi ekonimi rakyat yang terjejas. Untuk taikun balak kononnya ada SOP, untuk industri lain tak SOP ke? Sewajarnya Kerajaan Sarawak mengikut langkah Kerajaan Pusat 4 Mei ini.

Sabah? Go Head, ‘Gustan’!

Sementara itu seperti biasa Kerajaan Warisan Sabah tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sebagaimana yang diumumkan  kerajaan.

Trend sejak dahulu jika Kerajaan Sarawak membantah kerajaan Sabah akan menirunya.

Gaya Warisan ialah Go Head sama ada mereka menunjukkan cara melawan, protes, bertindak ala pejuang MA63 namun selepas dikecam netizen, Kerajaan Warisan akan ‘Gustan’. Kerajaan Sabah akan U-turn untuk selari dengan keputusan MKN dan kerajaan pusat. Sudah banyak isu seperti kebenaran sektor perladangankebenaran berdua satu kereta dan kepulangan pelajar IPT ke Sabah untuk di Kuarantin di rumah.

 U-Turn juga selepas 10,000 pelajar membalun Ketua Menteri, Pengarah JKTNS

Sebelum ini Datuk Safar Untong Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengeluarkan pekeliling bagi arahan bekerja dari rumah berikutan  perintah kawalan pergerakan bersyarat mulai 4 Mei.

‘Selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri pada 1 Mei 2020 pembukaan semula ekonomi termasuk sektor awam, Pejabat Kerajaan Negeri perlu turut memastikan perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat dipenuhi dengan baik dan selamat.

Arahan bekerja dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dan penutupan premis Kerajaan Negeri yang dilanjutkan hingga 12 Mei 2020 masih berkuatkuasa sehingga diberitahu kelak.” Katanya melalui surat bertarikh 2 Mei 2020.

Ketua Jabatan diminta supaya menyelaras keperluan sumber manusia mengikut keperluan perkhidmatan dan menyediakan jadual kerja sekiranya perlu, kehadiran di pejabat hanya dibenarkan bagi projek kerja yang memerlukan keberadaan di pejabat.

Bagaimanapun arahan SKN itu tidak tertakluk kepada penjawat persekutuan di negeri Sabah yang akan beroperasi bermula pada 4 Mei nanti.

 

 

Keputusan Kerajaan Warisan sudah tentu mengecewakan komuniti perniagaan dan ekonomi rakyat yang terhimpit kini. Rakyat hilang pekerjaan dan pendapatan manakala bantuan COVID-19 tidak diterima. Runner penghantar barangan, makanan juga tidak dibenarkan. Ini sekaligus meranapkan ekonomi rakyat. 

Rakyat bukan bodoh. Rakyat memahami SOP menangani krisis COVID-19 ini. Amalan keluar rumah jika perlu, penjarakan sosial, penggunaan hand sanitizer dan amalan mencuci tangan kini sudah menjadi sebahagian cara hidup menghadapi norma baharu.

Paling penting Kerajaan Negeri selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. MKN Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah perlu selaras dengan dengan arahan MKN Pusat.

Berapa lama Shafie bertahan untuk tidak U-Turn? tekanan pemain industri pasti akan meranapkan Kerajaan Warisan selepas PKP nanti.


Acah-acah 'Guna Kuasa' Menteri Besar Kedah dan Selangor

Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk peraturan pembukaan premis perniagaan di negeri terletak di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bukannya pihak berkuasa tempatan (PBT) atau negeri.

Ismail menjelaskan, keadaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak sama seperti hari biasa, justeru semua keputusan ditentukan oleh MKN.

Perlembagaan Persekutuan Perkara 75 adalah jelas jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.

Jadi apa perlunya Kedah menangguhkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), manakala Selangor pula tidak membenarkan semua industri kembali beroperasi pada 4 Mei ini.

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri akan meneliti syarat dan garis panduan PKPB yang diumum kerajaan persekutuan bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan negeri itu sehingga mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (khas Covid-19) pada 5 Mei ini.

"Oleh itu pelaksanaan di bawah PKPB ditangguhkan di Kedah sehingga keputusan dicapai” . katanya

Alasan Kedah ialah Kedah kekal sebagai zon hijau dan rakyat tidak terancam dengan jangkitan Covid-19.

Sepatutnya dengan segala langkah kerajaan sehingga Kedah sebagai zon hijau maka rakyat diberi peluang untuk bangkit kembali dalam sektor ekonomi. Sempadan negara dan negeri juga telah ditutup. Kerajaan Kedah bukanlah kaya sangat malah tidak mampu pun menanggung bantuan kepada rakyatnya.

Berhenti tunjuk perangai menggunakan keegoan sebagai Menteri Besar. Ikut ketetapan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara. Mukhriz perlu jelas kuasanya kerana setiap sektor ekonomi yang terlibat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Sudahlah orang hormat dia hanya bekas anak PM7 sahaja. Kalau tak dah lama Kerajaan Kedah tumbang bertukar tangan.

Begitu juga Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kerajaan pusat telah menetapkan peraturan pembukaan premis perniagaan di negeri terletak di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bukannya pihak berkuasa tempatan (PBT) atau negeri.

Jadi tidak tumbul isu pihak Menteri Besar perlu berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu, berkenaan penguatkuasaan dan garis panduan bagi mengelakkan peningkatan kes di negeri itu. Kerajaan Negeri dan PBT sepatutnya berbincang dengan MKN mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini.

Bagi rakyat peluang dalam ekonomi tetapi menyediakan SOP yang telah ditetapkan oleh MKN.

Operasi Sektor Ekonomi selamatkan sejuta dibuang bekerja- Persatuan Majikan

Kelulusan syarikat ketika Perintah Kawalan Pergerakan bukan bertujuan mengaut keuntungan sehingga mengabaikan faktor keselamatan. Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, menjelaskan kelulusan beroperasi secara berperingkat itu adalah peluang untuk menghidupkan semula ekonomi domestik selepas terjejas berikutan penularan COVID-19.

Selain itu, katanya, ia berupaya mengurangkan risiko pembuangan pekerja secara besar-besaran selepas pelbagai syarikat mengalami kesan kewangan dan aliran tunai daripada tempias wabak berkenaan.

“Keputusan kerajaan ini adalah selari dengan kemahuan industri, tetapi ingin ditekankan ia bukan bertujuan menjana keuntungan seperti disifatkan segelintir pihak.

“Ia sebaliknya lebih kepada ruang untuk menyelamatkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat selepas syarikat gagal beroperasi sekian lama kerana ditutup sepanjang PKP.

“Sekiranya syarikat tidak dibenar beroperasi untuk tempoh yang lama, risiko pembuangan pekerja sukar diminimumkan, sekali gus menggugat sosioekonomi masyarakat.

“Susulan keputusan kerajaan membenarkan operasi syarikat di sektor tertentu untuk beroperasi, kemungkinan sejuta orang dibuang bekerja mungkin tidak berlaku,” katanya 

 

 

13 Comments