'Sabah bukan dalam Malaysia' Anifah kecam Setiausaha Luar Filipina
06:08 Aug 02, 2020  |  By SabahKini2
'Sabah bukan dalam Malaysia' Anifah kecam Setiausaha Luar Filipina

Anifah menegaskan bahawa tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak relevan dan tidak akan diiktiraf. Suara Anifah ini terus konsisten sejak beliau Menteri Luar bahawa Sabah akan terus dipertahankan

Bekas menteri luar negeri Anifah Aman mengecam dakwaan Setiausaha Luar Negeri Filipina Teodoro Locsin Jr yang mengatakan Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

"Saya selalu menyatakan bahawa kami tidak mengiktiraf dan tidak akan memenuhi tuntutan oleh mana-mana pihak ke atas Sabah.

"Sabah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan Persekutuan pada 16 September 1963," kata Anifah dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, katanya, kenyataan Locsin hanya mendedahkan ketidaktahuan mengenai sejarah dan undang-undang antarabangsa, serta berpotensi merosakkan hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Filipina.

Anifah menegaskan bahawa tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak relevan dan tidak akan diiktiraf.

"Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan akan sentiasa seperti itu," kata Anifah.

Bekas ketua menteri Sabah Musa Aman juga mengatakan bahawa tuntutan seperti itu oleh Filipina atau pihak lain tidak boleh diiktiraf atau dilayan.

“Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia dan tidak ada pertikaian mengenai perkara ini.

"Saya mendesak Filipina, termasuk menteri luarnya, untuk menghentikan naratif jenis ini untuk tujuan politik dalamannya kerana tidak baik untuk hubungan dua hala dalam negara-negara Asean," katanya dalam satu kenyataan berasingan hari ini.

Musa menyorot kes Mahkamah Tinggi kerajaan Malaysia baru-baru ini dengan Nurhima Kiram Fornan & Ors, di mana keputusan hakim Martin Idang menjelaskan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan tidak ada negara lain yang mempunyai hak atau kuasa atas urusan negeri itu.

Musa menambah bahawa rakyat Sabah memilih untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia kerana mereka telah menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran ekonomi di negara ini.

"Oleh itu, izinkan saya sekali lagi menyatakan dengan jelas bahawa kita tidak mengiktiraf atau mengakui sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah," tegas Musa.

Sebelum ini, Locsin dalam kenyataan di Twitter berkata bahawa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

Dia berkata demikian sebagai menjawab ciap Kedutaan AS di Filipina, yang menyiarkan gambar ketika memberi bantuan kepada rakyat Filipina yang dihantar dari Sabah.

"Sabah bukan dalam Malaysia jika anda ingin mempunyai kaitan dengan rakyat Filipina," katanya.

 

Sejak 2018 ketika Dato’ Sri Anifah Aman menjadi Menteri Luar beliau adalah Menteri paling tegas menolak tuntutan Filipina terhadap Sabah dan tidak ada istilah berunding mengenai hak Malaysia terhadap wilayahnya.

[ARTIKEL BERKAITAN- Malaysia tidak layan sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah- Anifah

[ARTIKEL BERKAITAN- Musa dan Anifah pertahankan Sabah dari tuntutan Filipina

[ARTIKEL BERKAITAN- Tiada Rundingan Kerana Malaysia Tidak Iktiraf Tuntutan Terhadap Sabah - Anifah

Susulan itu, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein membidas Locsin kerana mengeluarkan "kenyataan tidak bertanggungjawab yang mempengaruhi hubungan dua hala".

Hishammuddin berkata Wisma Putra memanggil duta besar Filipina untuk mendapatkan penjelasan.

[ARTIKEL BERKAITAN- Sabah bukan milik Malaysia, Menteri Luar panggil Duta Filipina ]

 

 

17 Comments