Lompat parti sebahagian demokrasi, KP SPRM betul yang salah lompat dibayar rasuah
06:05 May 07, 2021  |  By SabahKini2
Lompat parti sebahagian demokrasi, KP SPRM betul yang salah lompat dibayar rasuah

Dulu PH marah BN isu lompat parti. Namun ketika PH berkuasa tidak pula PH menggubal Akta Lompat Parti.Malah PH gunakan untuk mencuri MP lain. Kini bila hilang kuasa PH protes lompat parti. KP SPRM cakap betul tak salah lompat selagi tidak rasuah.

LOMPAT PARTI ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA AMALAN DEMOKRASI

Kecoh baru-baru ini dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki bahawa ahli politik melompat parti bukan satu kesalahan di negara ini melainkan melibatkan pembayaran wang oleh pihak tertentu.

Demikian tegas Azam ketika mengulas gesaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini.

Memang benar kerana tidak ada satu pun undang-undang di negara ini melompat parti sebagai satu kesalahan. Tiada undang-undang yang melarang mereka daripada berbuat demikian. Menurut Azam Akta Anti Lompat Parti tidak wujud lagi

SPRM, bagaimanapun katanya  akan menyiasat sekiranya wujud amalan rasuah susulan tindakan ahli politik melompat parti.

“Kalau mereka yang kita siasat kebanyakan mereka yang meraih sokongan dan dikatakan membayar wang, itu kita siasat dibawah Akta Pilihan Raya, macam kes Ahli Parlimen Sekijang (PKR), Natrah Ismail baru-baru ini pun kita dah siasat dan tiada kes.

“Tidak ada pembayaraan yang dikatakan bernilai RM10 juta seperti disebut-sebut banyak pihak,” katanya lagi.

Pembuktian bayaran rasuah kerana melompat parti

Lompat parti berlaku sejak sekian lama. Dari Zaman kerajaan BN juga berlaku malah ketika Kerajaan PH berkuasa tidak ada satu pun undang-undang dipinda untuk menghalang lompat parti. Apa yang jelas ketika PH berkuasa mereka membenarkan juga ahli parlimen BN atau Adun melompat atas sebab ugutan dan mungkin tawaran jawatan.

Namun semua itu tidak pernah dapat dibukti berlakunya rasuah.

Drama kejatuhan PBS pada tahun 1994 di Sabah antara bukti popular kisah lompat parti yang diingati yang menyebabkan BN berkuasa sehingga PRU14.

Krisis politik Perak 2009 apabila Adun PKR keluar parti menyebabkan BN berkuasa. Drama yang tidak kurang hebatnya ialah rampasan kuasa Shafie Apdal dan Warisan pada 12 Mei 2018 apabila sekumpulan Adun BN melompat keluar menyertai kerajaan Warisan. Tan Sri Musa Aman yang mengangkat sumpah 10 Mei diturunkan secara paksaan oleh campurtangan Dr Mahathir ketika itu sebagai PM8.

Pernah juga Warisan meminta SPRM menyiasat Dr Jeffrey Kitingan kononnya telah menerima RM20 juta daripada Tan Sri Musa. Rumahnya diserbu dan tidak ada satupun penemuan wang yang didakwa rasuah namun adun BN yang melompat sertai Warisan tidak pula pernah disiasat

Begitu juga pemimpin BN lompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PRU14. Semuanya tenang saja diposisi ketika Dr Mahathir berkuasa.

Selepas saja PN mengambil alih tampuk kerajaan pusat pada penghujung februari 2020 beberapa negeri seperti Perak, Kedah Johor dan Melaka bertukar kerajaan selepas Adun PH keluar parti.

Kerajaan Warisan sepatutnya tumbang pada 29 Julai 2020 selepas 14 Adun Sabah menyertai kem Tan Sri Musa Aman namun Shafie membubarkan  DUN Sabah pada 30 Julai 2020. Bagaimanapun Warisan tewas dalam PRN September 2020.

Oleh itu lompat parti bukan sesuatu yang asing dan salah di negara ini. Yang menjadi masalah ialah ketika BN berkuasa PH mahukan Akta Anti Lompat namun ketika PH berkuasa mereka pula yang mencuri wakil rakyat BN serta melupakan menggubal undang-undang.

Sekarang ketika PN berkuasa PH dan BN marah pula MP dan Adun lompat parti ke PN.

Hari ini pemimpin Upko yang melompat dan Warisan yang membayar rasuah jawatan kini pula mahu pemimpin PH yang melompat disiasat SPRM. Standard apa mereka gunakan?

Ada yang berkata lompat parti adalah satu jalan menyucikan diri daripada kes rasuah atau jenayah. Misalnya pada MP PKR yang terkait kes rasuah melompat kepada PN untuk menyelamatkan diri. Ini boleh jadi benar atau tidak tetapi sesuatu kes lambat laun akan didakwa juga. Lihat saja Datuk Peter Anthony Naib Presiden Warisan yang ditahan SPRM tahun 2017 namun kini didakwa tahun 2020. Bukan satu kes tetapi melibatkan kes rasuah RISDA dan penipuan dokumen UMS yang kini sedang berlangsung perbicaraan di mahkamah. 

Apa yang salah melompat parti? Di luar negara juga berlaku lompat parti. Apa negara maju yang melompat parti itu tidak maju dan tidak demokratik?

Hampir semua negara demokratik ada lompat parti termasuk Amerika Syarikat. Pada tahun 1994, tujuh orang Ahli Kongres Demokrat melompat ke Republikan. Tahun 2001 pula Ahli Kongres Republikan terkenal Jim Jeffords melompat ke Demokrat sehingga Republikan kehilangan majoriti dan menyebabkan Senate dikuasai oleh Demokrat.

Di Australia Perdana Menteri sendiri lompat parti. Di Itali purata 25 % Wakil Rakyat lompat parti. Di New Zealand dan di Turki juga berlaku. Kubilay Uygun di Turkey terkenal kerana lompat parti banyak kali di Grand National Assembly of Turkey. Di Negara Filipina lompat parti amalan biasa.

Lompat parti adalah demokrasi. Siapa berkuasa akan menggunakan tekanan menarik mana-mana wakil rkayat mengukuhkan parti mereka dan kerajaan.

Jadi apa yang diperkatakan oleh Datuk Seri Azam Baki tentang lompat parti adalah benar. Beliau berkata tiada undang-undang menyekatnya. Bukan beliau menyokong lompat parti. Itu Ahli Parlimen tentukan undang-undangnya bukan penjawat awam atau SPRM. Jika ada elemen rasuah berilah bukti kukuh bukan sekadar cakap-cakap atau gossip.

 

 By Ahmad Lufti 

3 Comments