MOF luluskan MRT3 RM50B, Projek Pan Borneo, bekalan elektrik di Sabah lembap, adilkah Putrajaya?
04:06 Jun 17, 2022  |  By SabahKini2
MOF luluskan MRT3 RM50B,  Projek Pan Borneo, bekalan elektrik di Sabah lembap, adilkah Putrajaya?

Hasil minyak Petroleum dan minyak sawit Sabah penyumbang besar kepada negara tapi nak luluskan peruntukan Projek Pan Borneo, CIQ Serudong-Kalabakan dan lain-lain bermacam-macam alasan. MRT3 boleh lulus RM50B. Tapi kalau Sabah...

By Awang Batatar

Pengumuman demi pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan Pusat untuk meneruskan kesinambungan program pembangunan negara  seiring dengan kemerdekaan negara memberi rasa syukur kepada rakyat di negara ini. Banyak manfaat kejayaan dicapai selepas kemerdekaan negara tidak kira di Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung.

Namun apa yang pasti siapa Kerajaan Pusat berkuasa sama ada daripada BN, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan kini Ismail Sabri Yaakub Perdana Menteri, hakikatnya semua layanan mereka terhadap Sabah dan Sarawak khususnya Perjanjian MA63 masih sama.

Cuma di zaman PH memerintah layanan mereka lebih buruk serta membatalkan semua projek rakyat. 

Ketika Tun Dr Mahathir kembali sebagai PM-7 ranap semua tuntutan MA63, hasil 40% dan royalti minyak dicapati sehingga Sarawak menyaman Petronas untuk mengutip Cukai Jualan Petroleum. Shafie Apdal Ketua Menteri pula jadi pak turut kepada Dr Mahathir. Semua yes. Hanya mampu tersengih sebelah Dr Mahathir apabila tuntutan Sabah tak diberi. 22 bulan Dr Mahathir berkuasa satu apa pun tak dapat daripada Dr Mahathir. Akhirnya yang dapat Cukai Jualan Petroleum di Sabah iialah Kerajaan GRS-BN bukan Warisan PH.

Ketika Tan Sri Muhyiddin sebagai PM, beliau mengumumkan Kerajaan Persekutuan memberi layanan yang adil dalam pembentukan dan perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Rolling Plan Pertama (RP1) 2021 RMK-12, sebanyak 1,039 projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM5.01 billion telah diluluskan khusus untuk negeri Sabah bagi pelaksanaan projek-projek merentasi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan. Semuanya hanya gula-gula.

Manakala Dato’ Sri Ismail Sabri yang menjadi PM sekarang ketika kali pertama melawat Sabah mengumumkan RM4.66 bilion diperuntukkan bagi negeri Sabah peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) selain projek Jendela teknologi 5G RM3.61 bilion.

Janji PM Ismail Sabri ialah menyelesaikan isu tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih tertangguh.

April lalu PM Ismail Sabri juga telah meluluskan pemberian khas  negeri Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, dan amaun akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026. Duit geran khas ini masih belum dibayar sejak diumumkan.

Bila? Kerajaan Sabah masih menunggu.

Kerajaan Pusat elok bayar cepat kerana dana lebih RM125 juta itu akan digunakan untuk membina projek perumahan rakyat Rumah Mesra SMJ.

Daripada semua kerajaan sebelum ini di Sabah ternyata banyak perkara perlu diusahakan lagi. Persoalan yang paling besar ialah pembangunan yang tidak seimbang antara negeri dan wilayah di negara ini.

Persoalannya apakah yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat dilihat  seimbang dan bersifat adil?

MRT lebih RM50 BILION!

Jika hari ini, projek Transit Aliran Massa (MRT) kini sudahpun pasti memasuki kemajuan di fasa 3, iaitu selepas projek yang  pertama kalinya dilancarkan pada sekitar tahun 2011 dan siap pada 2016, dan memasuki fasa 2 pada tahun 2017 malah terbaru pengumuman Kerajaan peruntukan lebih RM50 bilion yang dibiayai secara sukuk. Semua hutang. Tapi kalau nak membiayai projek pembangunan di Sabah tak sanggup berhutang, tunggu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia atau peruntukan pembangunan kementerian.

Jika EPU tidak meluluskan projek maka MOF tidak akan memberikan peruntukan. Jika MOF tidak bertegas maka EPU juga akur. 

 

Terbaru Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Projek Hidroelektrik Nenggiri bernilai RM5 bilion yang menyalurkan 300 megawatt (MW) untuk penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia..

Namun malang Projek Lebuhraya Pan Borneo yang dibatalkan PH- Warisan di Sabah sebelum ini kini disambung semula dengan peruntukan baru yang samar sehingga melengahkan pembinaan projek itu di Sabah. 

Diumumkan RM12.7 bilion namun pelaksanaannya dijangka 5 tahun pun belum tentu siap.

KEMAJUAN LEBUHRAYA PAN BORNEO

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof  baru-baru ini memaklumkan bahawa keseluruhan Fasa 1 projek itu di Sabah dijangka disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bayangkan projek yang sepatutnya siap kini tangguh lagi 5 tahun. Mampukah rakyat menunggu lagi? 

Timbalan Menteri Kerja Raya Arthur sendiri mengesahkan status  kemajuan pembinaan 12 pakej kerja pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah Fasa Satu yang telah dimulakan hingga Oktober lepas adalah 62 peratus.

Untuk rekod, Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa Satu dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer (km) dibahagikan kepada 35 pakej kerja. Penjimatan ala-ala Pakatan Harapan yang kononnya menjimatkan RM 1 Bilion menyebabkan projek tertangguh.

Rakyat kini dibodohkan dengan berhadapan jalan yang teruk sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian.

Kontraktor Pan Borneo pula gagal menyelenggara jalan ketika pembinaan Pan Borneo dibuat menyebabkan rakyat menggelarkan jalan seperti menuju ke bulan. Peruntukan selenggara jalan persekutuan diberi tetapi konsesi tidak melaksanakan. Maka tularlah pelbagai video penunggang motosikal terjatuh, kenderaan rosak dan kemalangan menyebabkan kematian. Lihat saja Projek Pan Borneo dua pakej dari Sipitang ke Beaufort digelar netizen sebagai ‘Jalan ke Neraka’. 

ARTIKEL BERKAITAN - [VIDEO] Projek ‘Chong Babi’ Jalan Sipitang - Beaufort RM1.3B gagal, jadi ‘Jalan Neraka’, lori hantu ancam nyawa rakyat!

Lantaran itu tidak hairanlah rakyat Sabah menuntut pengecualian cukai jalan kerana tidak berbaloi membayar cukai di jalan yang teruk dan daif! Harap Dato' Seri Wee Ka Siong meluluskan cadangan itu. Dikecualikan sehingga Pan Borneo siap pun tak mengapa.

Menteri KKR Pusat dan Negeri atau jika ada PM turun ke Sabah lebih baik melawat sendiri jalan Pan Borneo Sabah yang pakejnya gagal siap. Jangan tunjuk di pakej yang dah siap.


MOF TANGGUH PEMBINAAN KOMPLEKS IMIGRESEN, KASTAM DAN KUARANTIN (CIQ) SERUDONG-KALABAKAN

Pengumuman  Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mac lalu mengenai penangguhan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Serudong-Kalabakan atas alasan tiada peruntukan diberikan Kementerian Kewangan satu tamparan yang berat kepada Sabah.

Penangguhan CIQ bernilai RM600 juta di Serudong dilihat sangat merugikan ekonomi Sabah, berikutan Kalimantan Timur akan dibangunkan sebagai ibu negara baharu Indonesia. Siapa yang pernah ke Indonesia (Kalimantan Timur) pasti mengetahui bagaimana kemudahan infrastruktur seperti jalan raya telah lama dibangunkan dan berada dalam keadaan baik di sana.

Tapi MOF memilih untuk tidak memberi peruntukan kepada projek itu. Apa sebenarnya dalam fikiran Menteri JPM (Ekonomi) Tokpa yang menjaga EPU dan Tengku Zafrul Menteri Kewangan? Apakah mereka tidak mengikuti perkembangan Kalimantan sebagai Ibukota Negara baharu Indonesia. RM600 juta celah gigi Tengku Zafrul saja. 

Dan paling ironik boleh pula Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Menteri Kewangan Tengku pada 5 jun lalu mengumumkan kelulusan bagi pembinaaan stesen Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam. 

Pada masa yang sama, Zafrul juga mengumumkan hasratnya menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan, bagi merealisasikan kemajuan daerah itu semaksimum mungkin ke hadapan.

Jika dengan menjadikan Daerah atau Negeri angkat kepada Kementerian Kewangan boleh mencepatkan peruntukan dan kelulusan projek Sabah ada baiknya Tengku Zafrul menjadikan Sabah negeri angkatnya atau memilih daerah termiskin mana di Sabah dia mahu. Rakyat Sabah mesti pasti gembira dengan projek pembangunan yang melimpah.Tapi memilih kawasan semata-mata nak bertanding PRU ke-15 baiklah dilupakan saja.
 
 

ISU BEKALAN ELEKTRIK SABAH

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memperuntukkan sebanyak RM1.36 bilion bagi menjayakan 32 projek dalam usaha mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah.

Manakala masalah gangguan bekalan elektrik di negeri Sabah pula berlaku di peringkat sistem pengagihan dengan purata tempoh gangguan bekalan elektrik selama 332 minit tahun lalu.

Namun kini menjadi persoalan apakah pelan agar Sabah memiliki janakuasa baharu untuk menampung keperluan permintaan pelanggan terutamanya di dalam industri?

Untuk rekod pada November lalu, kerajaan Persekutuan memberi kuota 300MW bagi penjanaan tenaga di kawasan timur Sabah dengan meneliti kaedah termasuk tenaga solar dan 'mobile barges' (kemudahan mudah alih) sementara menunggu IPP baharu dilaksanakan.

Kuota tenaga 300MW itu adalah sementara dan dijangka siap dalam masa setahun hingga satu setengah tahun yang melibatkan kos kira-kira RM1 bilion.

Ini bermaksud pelan bagai IPP Baharu yang membekalkan 1000 MW tenaga hanya akan bermula selepas projek 300 MW secara sementara itu siap dan digunakan sepenuhnya.

Jika tidak ditangani Sabah terus berhadapan krisis bekalan elektrik yang tidak pernah selesai.  Prestasi Syarikat TNB/SESB dan penyedia tenaga bebas  IPP di Sabah terus tidak mencukupi.  SESB rugi dan digambarkan seperti telur dihujung tanduk, diambang muflis dan hampir dijual. Kerajaan Warisan sebelum ini mahu membeli SESB namun kosnya RM8 bilion menggagalkan usaha itu.

IPP yang gagal sepatutnya tidak disambung. Stesen Janakuasa Libaran misalnya dah tamat konsesi
namun diberi nyawa semula. IPP guna Diesel ini sepatutnya tidak ada lagi 

IPP pula semua untung besar. Percaya tak ada IPP di Sabah menjual  bekalan elektrik kepada TNB/SESB sehingga 0.95 sen seunit (kWh). Khidmat IPP begitu juga. 

Terputusnya bekalan elektrik hampir di seluruh Sabah tahun lalu sangat memalukan TNB dan anak syarikatnya SESB yang terbukti gagal memainkan peranannya di Sabah. IPP bawah seliaannya seperti Ranhill Powertron Sdn Bhd, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan  Sepanggar Bay Power Corporation (SBPC) penyebab sehingga 113,965 pengguna di beberapa lokasi di Sabah dan Labuan bergelap melibatkan beberapa lokasi tertentu di bandar seperti Kota Kinabalu, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Kunak, Kimanis, Tuaran, Keningau, Semporna dan Sandakan

Inilah punca salah satu sebab utama pelabur asing ragu untuk melabur di Sabah dalam pelbagai bidang industri dan juga pelancongan  kerana kekurangan infrastruktur termasuk bekalan elektrik yang mencukupi dan meyakinkan pelabur.

Sabah perlu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil seperti petroleum, gas dan arang batu.

Syarikat utiliti utama seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) perlu segera mencari alternatif kerana sumber tenaga konvensional seperti petroleum, gas asli, dan arang batu semakin berkurangan.

Jawapannya ialah Sabah perlu beralih kepada Projek Solar Berskala Besar (LSS)

[ARTIKEL BERKAITAN- Sabah perlu pelaburan projek solar berskala besar

 

 

Stesen Janakuasa tenaga solar berskala besar (LSS) turut dibina berkapasiti 50 megawatt (MW)
di Kampung Lau San, Kudat 

Namun malangnya Menteri ‘Malaya’ tahun 2021 mengumumkan Rancangan peralihan tenaga Malaysia sasaran 31 peratus Tenaga Diperbaharui (RE) hanya utamakan Semenanjung. Alasannya 80% permintaan 'Malaya' sahaja. Jelas Sabah dianaktirikan sekali lagi.Semuanya menyelamatkan IPP berbanding laksana projek demi rakyat.


SURUHANJAYA TENAGA SABAH

Cadangan Kerajaan Sabah mewujudkan Suruhanjaya Tenaganya sendiri untuk mentadbir bekalan elektrik dan gasnya wajar diteruskan. Biar Sabah tentukan sendiri bukan 'Malaya' yang menghantar IPP mereka ke Sabah.

Suruhanjaya Tenaga Sabah yang akan mempunyai bidang kuasa itu sejajar dengan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Suruhanjaya Tenaga Malaysia hanya mengutamakan Semenanjung sahaja, mereka tidak tahu keperluan sebenar rakyat Sabah. Jika tidak lihatlah Sabah didiskriminasikan sebagaimana berlaku sebelum ini. Kuota Solar, tenaga dan lain-lain ini sepatutnya diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

 

HASIL MINYAK SAWIT & PETROLEUM

Sabah mengutip jumlah hasil terbesar RM5.44 bilion tahun 2021 sebahagian besarnya daripada hasil minyak petroleum dan minyak sawit.

Mac lalu eksport minyak sawit Malaysia berjumlah RM7.5 bilion dengan Sabah menjadi penyumbang terbesar iaitu  RM1.8 bilion (23.5 peratus) diikuti oleh Johor (RM1.7 bilion, 23.1 peratus) dan Sarawak (RM1.5 bilion, 20.3 peratus). 

Sekalipun terbesar industri ini dikuasai oleh syarikat gergasi ‘Malaya’ seperti Wilmar International, QL Resources, Kuala Lumpur Kepong, IOI Corporation, BELL Group, Genting Plantation, Sime Darby, dan syarikat berkaitan kerajaan persekutuan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Lahad Datu.

Hanya sebahagian kecil sekitar 20% hingga 30% daripada pekebun kecil.  Daerah seperti Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan (Tongod), Kalabakan, Semporna, dan Kunak menyumbang 65% daripada jumlah kawasan tanaman di Sabah dan 75% daripada hasil negeri.

Namun walaupun berbilion ringgit dijana daripadanya amat malang beberapa daerah di Sabah  sejak tahun 2019 seperti  Kudat, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Tongod dan Nabawan dikategorikan sebagai termiskin. Masih ada penduduk kampung hidup tanpa bekalan air dan elektrik yang mencukupi.

Itupun banyak syarikat gergasi dari ‘Malaya’ ini yang untung berjuta setiap tahun menipu dan enggan membayar SST kepada kerajaan negeri. Mereka menipu pendapatan dan kalau boleh tidak mahu membayar 5% Cukai Jualan Negeri yang dikuatkuasakan kerajaan.

Baru-baru ini sebuah syarikat berpengkalan di Subang Jaya Kilang Sawit Bell Sdn. Bhd (BELL Group) milik Puan Sri Dr Diana Low ditahan SPRM kerana membayar rasuah mengelak membayar Cukai Jualan minyak sawit kepada kerajaan negeri.

[ARTIKEL BERKAITAN- Kilang Sawit Bell milik BELL Group pendapatan tahunan RM59.2 juta, bakal didakwa tipu cukai jualan di Sabah]

Begitu juga baru-baru ini syarikat minyak Hibiscus Petroleum Berhad tidak mahu membayar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 5% kepada Kerajaan Sabah bagi penjualan minyak yang dihasilkan daripada kontrak Perkongsian pengeluaran Kinabalu Oil (PSC) atas alasan penjualan minyak mentah berlaku di dalam Wilayah Persekutuan Labuan, yang berada di luar bidang kuasa Sabah.

Wal hal semua hasil minyak itu diambil daripada PSC Sabah Utara. Semakan menunjukkan segmen North Sabah merekodkan hasil dan keuntungan kasar masing-masing sebanyak RM113.1 juta dan RM80.7 juta pada suku ketiga.

25 Mei lalu Hibiscus Petroleum Bhd mengumumkan untung bersih Hibiscus Petroleum meningkat kepada RM307.54 juta daripada RM32.03 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Tapi mereka tak mahu membayar 5% ini kepadaa rakyat Sabah! Jadi kerajaan Sabah mesti bertegas mengenainya.

[ARTIKEL BERKAITAN- Sabah bertegas tuntut cukai jualan negeri daripada Hibiscus Petroleum Bhd

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Mohd Noor dan kerajaan GRS-BN pula sedang melakukan apa saja untuk memajukan Negeri Sabah. Di bawah program 'Sabah Maju Jaya' diharap Sabah terus mendapatkan hak-hak dalam Perjanjian MA63. Sabah menjangka dapat menarik pelaburan langsung asing (FDI) kira-kira RM25 bilion. Setakat ini lebih RM10 bilion telah diterima di Sabah.

 

10 Comments