Giliran Reezal Merican nafi terima dana UKSB
23:06 Jun 21, 2022  |  By SabahKini2
Giliran Reezal Merican nafi terima dana UKSB

"Saya nak menyatakan dengan jelas saya tak pernah terima apa-apa dana politik daripada UKSB malahan saya pun tak kenal dan tak pernah tahu pun UKSB sebelum ini sehinggalah sekarang apabila disebut dalam kes."

Selepas berdiam diri beberapa hari sambil ‘tunggu dan lihat’ dengan penafian Muhyiddin, Anifah Aman dan Khairy Jamaluddin kini Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tampil menafikan dakwaan menerima sejumlah dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Beliau menegaskan langsung tidak mengetahui tentang syarikat yang dikaitkan dalam perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu, tegasnya adalah mustahil untuk beliau menerima dana daripada pihak yang tidak dikenali.

Bagaimanapun Reezal berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

"Saya nak menyatakan dengan jelas saya tak pernah terima apa-apa dana politik daripada UKSB malahan saya pun tak kenal dan tak pernah tahu pun UKSB sebelum ini sehinggalah sekarang apabila disebut dalam kes.

"Sebagai ahli politik dan sebagai rasa tanggungjawab saya bersedia untuk memberi kerjasama dan keterangan yang diperlukan dan juga terbuka untuk disiasat. Saya nak ulangi, saya tak kenal UKSB saya tak pernah tahu, macam mana saya nak terima sumbangan daripada syarikat yang saya tak pernah kenal?" soalnya.

Reezal ditemui selepas Majlis Aspirasi Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas, pada Selasa.

Reezal berkata demikian mengulas dakwaan beliau antara pemimpin yang disebut menerima dana daripada syarikat UKSB.

Terdahulu, seorang pengurus tadbir UKSB, David Tan memaklumkan kepada mahkamah bahawa ada beberapa pemimpin negara dan ahli politik menerima wang daripada syarikat terbabit.

Selain beliau, pemimpin dan ahli politik yang turut dinamakan menerima wang daripada syarikat itu ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman dan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal.

Ujar Reezal lagi, sebagai pemimpin politik, beliau tidak menafikan ada menerima sumbangan daripada pelbagai pihak untuk melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan ianya disumbangkan melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen.

Namun tegasnya, pihaknya tidak pernah menerima sumbangan mahupun dana daripada syarikat yang bernama UKSB.

[ARTIKEL BERKAITAN- Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta daripada UKSB ]

[ARTIKEL BERKAITAN-  Tidak kenal David Tan, Anifah Aman nafi terima wang daripada UKSB

 

 

 

Comment