Tidak kenal David Tan, Anifah Aman nafi terima wang daripada UKSB
04:06 Jun 20, 2022  |  By SabahKini2
Tidak kenal David Tan, Anifah Aman nafi terima wang daripada UKSB

Menurut Anifah dia tidak kenal siapa David Tan dan pengarah UKSB. Beliau bertemu ramai orang dan tidak pernah berurusan dengan UKSB. Anifah bersedia tampil membantu siasatan

KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menafikan menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti yang disebut semasa perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Presiden Parti Cinta Sabah itu, dalam satu kenyataan pada Ahad, memaklumkan beliau bersedia untuk tampil membantu siasatan.

"Sebagai Menteri Luar ketika itu, saya bertemu dengan ramai orang. Seingat saya, saya tidak pernah berjumpa dengan David Tan mahupun menerima sebarang wang daripadanya atau UKSB.

"Saya tidak tahu siapa mereka dan saya tidak mempunyai sebarang urusan dengan mereka dalam apa cara sekalipun," katanya.

Terdahulu, bekas pengurus tadbir UKSB, David Tan memaklumkan kepada mahkamah bahawa ada beberapa pemimpin negara dan ahli politik menerima wang daripada syarikat berkenaan.

Selain Anifah, nama lain yang disebut ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu sebanyak RM1.3 juta pada 2018. Ahli Parlimen Paloh itu bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan atas alasan ketika itu beliau sedang menjalani pembedahan kanser.

Bagaimanapun netizen mempersoalkan alasan tarikh dijadikan alibi memandangkan tarikh disebut saksi bukanlah pada tarikh rawatan kanser itu.

[ARTIKEL BERKAITAN- Kes perbicaraan Zahid: Muhyiddin, Shafie Apdal, KJ terima dana berjuta daripada UKSB ]

Kes perbicaraan Zahid: Muhyiddin, Shafie Apdal, KJ terima dana berjuta daripada UKSB

Khairy Jamaluddin yang kini Menteri Kesihatan dikatakan menerima RM 3.7 juta. Selain pendedahan David Tan ia disahkan sendiri bekas pegawai khas KJ Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (Wan Badak) yang juga Pengarah UKSB yang memberi wang kepada KJ.

Turut dinamakan ialah bekas Ketua Menteri Sabah, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (dulu Timbalan Menteri Luar) kini Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada masa sama mengumumkan akan membuka kertas siasatan terhadap individu-individu yang disebutkan dalam laporan lejer itu.

 

1 Comment