Cukuplah perang politik 'Malaya', keutamaan sekarang kerjasama GRS-BN, kestabilan Negeri Sabah
01:07 Jul 02, 2022  |  By SabahKini2
Cukuplah perang politik 'Malaya', keutamaan sekarang kerjasama GRS-BN, kestabilan Negeri Sabah

Politik Semenanjung dengan Sabah berbeza. Keutamaan Sabah ialah kerjasama GRS-BN, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi. Diharap pemimpin Semenanjung yang datang ke Sabah berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

Nampaknya PRU ke 15 semakin dekat. Selain perang politik pembangkang terhadap kerajaan tidak kurang perang politik sesama parti komponen juga sedang semakin rancak.

Sepatutnya isu -isu politik dalam keluarga PN dan BN sekarang tidak dibahas secara terbuka apatah lagi berada di Sabah. Sama ada BN dan komponen PN di Sabah tidak wajar dibuat secara terbuka.

Kemelut politik yang berlaku di Semenanjung tidak sewajarnya di bawa ke Sabah. Apatah lagi ketika Konvensyen BN di Sabah dijadikan gelanggang perang itu.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN di Sabah tidak sama seperti di Semenanjung. Sama ada komponen BN dan PN yang membentuk gabungan itu sudah berjanji menjaga hubungan sesama parti tanpa terpengaruh dengan isu parti di semenanjung.

Jadi sesiapa juga pemimpin daripada Semenanjung yang berucap di Sabah dalam Konvensyen BN atau ketika berada di Sabah seharusnya berjaga-jaga dari mencetuskan isu sensitif GRS-BN.


Sikap terbuka Hajiji Ketua Menteri Sabah

Rakyat Sabah  tidak mahu ketidakstabilan politik mengganggu usaha pemulihan wilayah Sabah selepas negara menyaksikan ketidakstabilan politik selepas PRU-14  di mana kita sudah ada  3 Perdana Menteri di dalam tempoh empat tahun ini termasuk beberapa PRN Negeri bagi memilih kerajaan baharu.

Kerajaan GRS-BN sudah disusun cantik dan kabinet negeri hanya fokus melakukan tugas mereka memajukan rakyat Sabah. Sabah sudah jauh tertinggal.

Cukuplah segala kemelut politik yang berlaku di Semenanjung. Kerajaan GRS-BN perlu mengutamakan rakyatnya. Rakyat mahu kerajaan yang stabil selepas Pilihanraya Negeri dan perlu pulih daripada pandemik Covid-19.

Kutipan hasil Sabah terbesar dalam sejarah negeri RM5.449 bilion perlu diteruskan. Pelaburan lebih RM15b di Sabah tanda Kerajaan Sabah lebih stabil. Isu-isu MA63, geran pemberian khas, tuntutan hasil 40 peratus dan peruntukan pembangunan perlu diterus diselesaikan dengan Kerajaan Pusat. 

Apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Ketua Menteri Sabah sekarang perlu diteruskan. Beliau memimpin menstabilkan negeri. 

 

Tolak permusuhan parti politik

Kenyataan bekas Perdana Menteri Najib Razak mengenai kekuatan ‘Bersatu’ di Sabah atau Dato’ Sri Ismail Sabri Perdana Menteri mengenai PBS yang menyerang BN dalam Persidangan mereka mungkin tidak sesuai dibangkitkan secara terbuka dalam semangat GRS-BN. Diharap Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi juga mengambil kira hubungan baik GRS -BN di Sabah.

Kestabilan politik di Sabah lebih utama. Cukuplah dengan kecelaruan politik di Semenanjung yang caca marba ekoran keputusan PRU yang lalu. Tiada satu parti yang kuat sehingga berlaku pertukaran kerajaan dan Perdana Menteri. Kerajaan GRS-BN sudah diberi mandat rakyat pada PRN Sabah September 2020.

Apa yang Kerajaan GRS-BN lakukan ialah menuntut haknya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Kerajaan pusat jangan berlengah lagi.

Diharap rombongan pemimpin Semenanjung yang berada di Sabah sekarang agar sentiasa menjaga tutur kata. Jangan rosakkan mood rakyat Sabah.

Semoga Perdana Menteri yang berada di Sabah mengumumkan sesuatu yang lebih menggembirakan kepada rakyat Sabah. Rakyat Sabah tak mahu dengar peruntukan berbilion untuk MRT atau apa saja ilihat diskriminasi.

Mereka hanya mahukan berbilion itu lebih adil untuk rakyat Sabah bagi projek pembangunan. Rakyat mahu segera jalan Pan Borneo siap, dana geran Pemberian Khas Persekutuan RM125 juta yang diumumkan segera diberikan, peruntukan selenggaraan jalan dan bantu rakyat Sabah menangani kos sara hidup yang semakin tinggi. 

Kalau nak sebut Kestabilan Demi Kemakmuran maka inilah masanya di Sabah.

 

2 Comments