[VIDEO] Pemberian khas RM300 juta hanya penyelesaian interim, tidak hapuskan tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Sarawak
10:12 Dec 03, 2023  |  By SabahKini2
[VIDEO] Pemberian khas RM300 juta hanya penyelesaian interim,  tidak hapuskan tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Sarawak

Mengapa MP dan pemimpin Sabah bising pemberian khas RM300 juta? PM Anwar sendiri maklumkan ia hanya penyelesaian INTERIM. Pemberian khas tidak hapuskan tuntutan 40 % hasil. Ia kekal sehingga dimuktamadkan. Bantuan diberi Sabah Sarawak perlu diterima..

 

Nampaknya beberapa pemimpin Sabah menjadikan isu pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan dapati dari Sabah sebagai cara populis untuk meraih sokongan rakyat. Setiap kali ada pemberian khas mereka akan muncul dengan ayat yang sama 'Formula apa Kerajaan gunakan?' 'Saya tidak boleh terima pemberian ini'

Hakikatnya semua kerajaan sebelum ini BN, PH, PN dan Warisan masih gagal mendapat tuntut 40 peratus hasil itu. Apa yang berlaku sekarang ialah penambahbaikan dari masa ke semasa tuntutan penuh untuk direalisasikan.

29 November lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bayaran pemberian khas tahun 2023 pada kadar baharu RM300 juta kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Menurut PM Anwar Ibrahim pelaksanaan semakan kadar amaun pemberian khas  melalui penyelesaian secara interim itu telah diwartakan.

"Bagi melaksanakan semakan kadar amaun pemberian khas baharu ini berdasarkan Perkara 112D(1) dan 112D(5) Perlembagaan Persekutuan, Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2023 dan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D) (Negeri Sarawak) 2023 telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan pada 24 Nov 2023," katanya dalam satu kenyataan

Anwar berkata kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak buat masa ini telah mencapai persetujuan untuk semakan kadar amaun pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa bermula tahun 2023 sebagai penyelesaian secara interim sementara proses memuktamadkan formula semakan pemberian khas bagi jangka Panjang diputuskan

Penyelesaian secara interim ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTP-MA63) yang telah berlangsung pada 20 Jan 2023 dan telah dibentangkan dalam Belanjawan 2024.

 

Persetujuan adalah meliputi perkara-perkara berikut:

(a) Kadar amaun pemberian khas baharu bagi negeri Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM300 juta mulai 2023. Kadar interim ini merupakan peningkatan kepada amaun yang sedang berkuat kuasa RM16 juta setahun bagi negeri Sarawak sejak tahun 1969 dan RM125.6 juta bagi negeri Sabah bagi tahun 2022 melalui semakan interim yang telah dilaksanakan untuk Sabah pada tahun 2022;

(b) Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak komited untuk meneruskan perundingan dan melaksanakan semakan semula kadar pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk memuktamadkan formula penentuan kadar pemberian yang telah diperuntukkan di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan;

(c) Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak akan melaksanakan kajian semakan pemberian khas dengan mengambil kira pertimbangan keperluan kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak berhubung kos perkhidmatan negeri serta kedudukankewangan Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112D(2) Perlembagaan Persekutuan.

 

Sabah tegas tuntut hak pemberian khas 40 peratus

Bagi Kerajaan Sabah bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Noor sudah berkali -kali menegaskan akan tidak sama sekali berkompromi atau menyerahkan haknya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung pemberian khas 40 peratus hasil bersih yang Persekutuan dapati dari Sabah.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun juga sebelum ini dan di sidang DUN telah menjelaskan mengenai tuntutan 40 % sebagai hak Sabah yang terus diperjuangkan. Sebarang bentuk pemberian bantuan khas hanyalah bersifat Interim. Semua perkara ini telah diperuntukkan dalam Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana setiap kali pemberian khas diberikan muncul pemimpin Sabah mempertikaikan Kerajaan Sabah seolah-olah mengabaikan hak sebenar tuntutan 40 peratus.

Hakikatnya dakwaan pihak tertentu bahawa Kerajaan Negeri telah melepaskan haknya berhubung pemberian khas ini adalah sangat tidak berasas.

Parti Warisan (WARISAN) misalnya sebelum ini mendakwa tuntutan Sabah berhubung 40 peratus hasil dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini terhapus dengan penerimaan pemberian khas yang dinaikkan sejak tahun lalu.

Apakah dengan penerimaan tambahan pemberian khas RM300 juta secara interim itu kini menghapuskan tuntutan Sabah berhubung 40 peratus hasil dikutip Kerajaan Persekutuan? Jawapannya tidak!

Negeri secara nyata berhak untuk menuntut apa yang patut bagi ketidaksempurnaan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan kajian semula perlembagaan setiap lima tahun sejak 1974.

Jika kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan selepas rundingan maka perkara itu dirujuk kepada penilai bebas seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan.

Susunan perlembagaan bagi Sabah ini dinyatakan jelas dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan bertarikh 27.02.1963 dan merupakan pengaturan perkongsian hasil yang dipersetujui antara Negeri Sabah dan Persekutuan yang membawa kepada pembentukan Malaysia pada 1963. Maka tidak timbul Kerajaan Negeri sekarang menafikan hak Sabah sedia ada.

Ahli Parlimen atau mana-mana pemimpin Sabah yang memperjuangkan isu seharusnya buat kerja rumah sebelum memilih menyerang secara melulu. Mereka pernah menjadi kerajaan dan Menteri Kabenit Persekutuan. Shafie Apdal, Madius Tangau, Isnaraissah Munirah dan lain – lain lagi. Rakyat juga boleh mempersoalkan ketika kamu berkuasa dan berjawatan apa kamu dapat lakukan? Kamu sendiri ketika berkuasa gagal mendapatkannya dan kini mempersoalkan kerajaan negeri mengusahakannya

Ahli Parlimen dan pemimpin yang pernah menjadi anggota kabinet mereka sedia maklum mengenai isu pemberian khas 40 peratus hasil bersih Persekutuan dapati dari Sabah. Jika mereka lebih bagus tentu ketika berkuasa dulu mampu menyelesaikannya. Tapi mereka hanya bercakap berulang-ulang demi populis rakyat.

Mereka tahu kelayakan 40% atau dua perlima kutipan hasil itu telah pun digubal dalam Perlembagaan Persekutuan - Perkara 112 (C) & Bahagian 4 Jadual Ke-10.

Maka Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan tidak boleh menggantikan formula dua perlima atau 40% melainkan peruntukan perlembagaan dipinda yang memerlukan 2/3 majoriti di Parlimen. Mereka MP sangat jelas mengenai perkara ini.

Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 24 Nov 2023 yang dipertikaikan adalah semata-mata untuk memberi kuasa kepada Perbendaharaan membayar kepada Sabah bayaran interim RM300 juta ringgit untuk kadar baharu Sabah dan Sarawak.

Kenyataan media Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 November dengan jelas menyatakan RM300 juta itu adalah bayaran interim sementara menunggu keputusan rundingan yang sedang dijalankan antara kedua-dua negeri Borneo dan  Kerajaan Persekutuan.

Ia jelas penyelesaian tuntutan secara INTERIM. Ini bukan isu Kerajaan Persekutuan menipu Sabah dan Sarawak atau kedua-dua negeri mengabaikan tuntutan. Semuanya hanya isu mahu cepat atau lambat dilaksanakan. Siapa PM pertama  daripada 10 Perdana Menteri yang menyelesaikan sekaligus masalah ini sekian lama.

Namun jika dalam proses perbincangan itu dan Kajian Semula Pemberian Khas Di Bawah Perkara 112D ditambah lagi menjadi RM300 juta setahun mengapa tidak Kerajaan Sabah dan Sarawak menerimanya. Penerimaan RM300 juta sedikitpun menghapuskan tuntutan Sabah berhubung 40 peratus hasil Persekutuan didapati dari negeri Sabah.

Ahli Parlimen Sabah boleh terus bersuara tapi janganlah nampak sikap populis melebih menunjukkan kebebalan mereka!. 

 

6 Comments