Tiong dilantik duta khas bertaraf Menteri ke China
09:04 Apr 21, 2020  |  By SabahKini2
Tiong dilantik duta khas  bertaraf Menteri ke China

Beliau akan berperanan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) Tiong King Sing dilantik sebagai duta khas perdana menteri ke China.

Pelantikan itu dimaklumkan Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang turut menyatakan kedudukan itu bertaraf menteri.

"Tiong telah dilantik sebagai duta khas kepada perdana menteri ke China bertaraf menteri.

"Beliau akan berperanan memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan," kata kenyataan itu.

Ia menyusuli pelantikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah pada 2 April lalu.

Tiong merupakan anggota parlimen Bintulu selama lima penggal dan pernah menjadi duta khas perdana menteri ke Asia Timur pada 2014 hingga 2018.

Tiong sebelum ini dilaporkan menolak pelantikan sebagai timbalan menteri perpaduan

PDP merupakan sebahagian daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menguasai 18 kerusi Parlimen.

Jawatan duta khas itu sebelum ini dipegang Anggota Parlimen Cheras yang juga Pengerusi DAP Tan Kok Wai. Pelantikan ini sekaligus menyingkirkan Tan Kok Wai yang sebelum ini bertegas tidak mahu meletak jawatan

Sebelum ini semua jawatan Pengerusi yang disandang pemimpin PH atau DAP di pelbagai kementerian telah disingkirkan seperti Lembaga Pelabuhan Labuan, Lembaga Pelabuhan Klang, NIOSH dan MOA.

 

2 Comments