Kerajaan Pusat tidak kompromi kedaulatan Sabah- PM
04:08 Aug 30, 2020  |  By SabahKini2
Kerajaan Pusat tidak kompromi kedaulatan Sabah- PM

Sabah kekal dalam Malaysia, ia sebahagian Malaysia. Jangan ada usaha tarik Sabah keluar dari Malaysia dan jangan ada usaha orang lain tuntut Sabah untuk jadi sebahagian daripada wilayah mereka,"-PM

KOTA KINABALU: Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak akan tunduk terhadap sebarang tuntutan untuk membawa keluar Sabah dari Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Pusat tidak akan berkompromi dalam soal yang membabitkan kedaulatan negeri itu.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan membiarkan sebarang tuntutan termasuk yang terbaru membabitkan tindakan memasukkan peta Sabah dalam pasport Filipina.

"Soal kedaulatan Sabah tiada kompromi. Baru-baru ini ada kenyataan pihak Filipina bahawa peta baharu dalam pasportnya turut menyertakan peta Sabah walaupun belum selesai dalam Senat.

"Saya tak nak cakap panjang, masukkan peta Sabah atas pasport, nak bawa tribunal... saya tegaskan di sini, kita tidak akan tunduk kepada tuntutan sebegini.

"Sabah kekal dalam Malaysia, ia sebahagian Malaysia. Jangan ada usaha tarik Sabah keluar dari Malaysia dan jangan ada usaha orang lain tuntut Sabah untuk jadi sebahagian daripada wilayah mereka," katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Samsuni Mohd Noor.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak akan membiarkan isu tuntutan terhadap Sabah berlarutan, sebaliknya usaha terus diambil bagi mempertahankan kedaulatan negeri itu.

"Kita akan mempertahankan Sabah hingga ke akhirnya, tiada kompromi. Sementara itu, jaga juga sempadan Sabah, jangan ada pencerobohan. Kita tidak akan biarkan perkara ini terus berlaku," katanya.

Isu tuntutan Filipina terhadap Sabah timbul semula apabila Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara itu.

Tindakan itu dianggap sebagai satu bentuk provokasi Manila berhubung tuntutannya terhadap Sabah.

Turut tular peta Sabah tertera bendera Filipina yang dikatakan sebagai wilayah ke-14 negara itu dengan nama setiap kawasan disebut dalam bahasa Filipina.

Anifah Aman baru-baru ini mempersoalkan tindakan Shafie Apdal yang terus berdiam diri berhubung tuntutan Filipina itu. 

[ARTIKEL BERKAITAN- [VIDEO] Pemimpin Sabah tulen pertahan Sabah- Anifah Aman ] 

[ARTIKEL BERKAITAN - Provokasi Manila terhadap Sabah kerana tindakan tidak bijak Ketua Menteri Interim- Anifah Aman ]

[ARTIKEL BERKAITAN - Shafie, Kerajaan Warisan kini gembira Sabah dalam Peta Filipina?]

 

 

 

7 Comments