Cubaan Shafie dan Warisan tetap ada cuma gagal dilakukan apabila BN dan PH tidak mahu menyokong Shafie sebagai Ketua Menteri. Kerajaan GRS-BN kekal maka Hajiji kekal ketua menteri. Namun Warisan pula dikejutkan bakal lompat parti. Bagaimanapun Shafie nafi
Di kala Shafie dan Warisan merancang mahu merampas kerajaan GRS-BN atas alasan kerusinya terbanyak di negeri Sabah kini tiba-tiba Warisan berhadapan dengan 6 adunnya yang bakal melompat parti.
Shafie Warisan sibuk mengumpul SD namun terlupa adunnya juga dalam keadaaan bahaya. Darrel Leiking Timbalan Presiden Warisan pula sibuk mahu speaker membawa ke sidang DUN mengesahkan keabsahan kerajaan GRS-BN bawah Hajiji.
Bagaimanapun kedudukan wakil rakyat Bersatu Sabah telah dijelaskan tidak tergugat kerana bertanding sebagai Parti GRS selain semua keahliannya boleh dianggotai secara terus.
Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal terpaksa menafikan isu beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Warisan bertindak keluar dari parti itu.
Sebaliknya, beliau menyatakan WARISAN kekal utuh dan dakwaan terdapat ADUN yang melompat dari parti, adalah tidak benar.
“Khabar angin dan cakap-cakap mengenai kononnya ada ADUN WARISAN yang mahu keluar parti ditimbulkan semula sebagai percubaan berniat jahat pihak tertentu untuk melemahkan dan menjatuhkan WARISAN.
“Semua ADUN WARISAN juga telah mengulangi kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada parti.
“Ahli Majlis Tertinggi (AMT) serta wakil rakyat WARISAN juga telah sebulat suara menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Adun Darau dan 5 Adun keluar Warisan
Isu pemimpin Warisan keluar parti bukan baru. Ia telah dinafikan berulang kali tidak benar oleh Adun Sebatik, Sindumin, Kukusan dan Segama namun akhirnya mereka keluar juga. Belum masuk isu Peter Anthony dan Adun Limbahau yang keluar membentuk parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Kecoh sebelum ini..
Februari 2021 kecoh lebih 5 orang ADUN daripada Warisan Plus dijangka keluar parti dan menjadi Adun Bebas menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Antara Adun yang disebut-sebut ialah YB. Assaffal Alian, (Tungku), Mohamad Mohammarin (Banggi), Azhar Hj Matussin (Darau), Norazlinah Arif (Kunak), Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor), Dr Daud Yusof (Bongawan) dan seorang bekas Menteri di Sabah (Dr Yusof).
Hari ini sekali lagi ADUN Darau, Azhar Matussin menafikan kononnya beliau bersama enam lagi wakil rakyat akan meninggalkan WARISAN.
Katanya, beliau juga tidak pernah menandatangani sebarang dokumen Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk bertukar parti.
“Perkara ini tidak betul. Saya tidak pernah menandatangani apa-apa SD bagi tujuan menukar sokongan kepada parti lain.
“Ini hanya sekadar mainan politik, sekali gus sengaja menimbulkan isu yang dilihat tidak masuk akal serta hanya mengelirukan rakyat khususnya di peringkat akar umbi,” katanya.
Azhar yang juga AMT WARISAN berkata, ketika ini semua ADUN dalam parti kekal utuh bersama Mohd Shafie di samping menghormati kepercayaan presiden parti kepadanya.
“Saya akan terus menghormati mandat serta kepercayaan yang telah diberikan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN16) lalu. Kita akan terus memperjuangkan menuntut hak rakyat Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Dalam pada itu, Azhar turut menegaskan sebagai pemimpin, beliau sentiasa mengambil pendekatan untuk tidak mudah terpengaruh dengan orang lain, sekali gus kekal bersama kepemimpinan sedia ada.
Apapun MOU 5 gabungan Kerajaan Perpaduan semalam mungkin menjadi batu asas penting tiada lagi perebutan kuasa di negeri-negeri pentadbiran kerajaan PH, BN, GPS dan GRS.