Tidak timbul BN takut pembangkang, PM memang selalu datang Sabah - Musa Aman
17:05 May 03, 2018  |  By SabahKini2
Tidak timbul BN takut pembangkang, PM memang selalu datang Sabah -  Musa Aman

Kalau Shafie dah kuat sangat dan kononnya membawa 'gelombang besar Warisan untuk mengambil alih Sabah', buat apa dia bimbang pasal siapa yang datang dan berapa kerap mereka datang?

PITAS 3 Mei: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak perlu menggunakan taktik kebudak-budakan dalam usaha meraih sokongan bagi meningkatkan lagi peluang beliau menjadi Ketua Menteri Sabah, kata Tan Sri Musa Aman.

Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu menyifatkan dakwaan Shafie yang mengatakan kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dirinya sendiri (Musa) itu takut kehilangan Sabah dalam pilihan raya, sebagai suatu dakwaan nakal yang sekadar menjadi taktik semata-mata untuk menutup kelemahan Shafie sendiri.

"Hanya pemimpin yang merasakan dirinya terancam sahaja yang akan menggunakan takrik yang tidak matang sebegini," kata Musa kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan geran komunal di sini, hari ini.

Menurut Musa lagi, hakikat bahawa Najib sememangnya telah mengamalkan pendekatan untuk selalu turun ke Sabah sejak lama sebelum pun musim pilihanraya tiba menunjukkan bahawa negeri Sabah sangat dekat di hati beliau.

"PM Najib memang sudah pun sering melawat ke Sabah, jauh lebih kerap berbanding mana-mana perdana menteri sebelum beliau. Lama sebelum tiba musim pilihanraya pun, malah lama sebelum pun Warisan ditubuhkan. Dia bukan seorang ahli politik bermusim.

"Kalau Shafie dah kuat sangat dan kononnya membawa 'gelombang besar Warisan untuk mengambil alih Sabah', buat apa dia bimbang pasal siapa yang datang dan berapa kerap mereka datang?" sambung beliau.

Musa berkata tiada yang anehnya jika terdapat mana-mana pemimpin BN yang mengadakan lebih daripada satu lawatan ke mana-mana negeri sepanjang musiim kempen.

"Terutamanya ke negeri yang besar seperti Sabah ini, yang mana daerah Kinabatangan sahaja sudah sama saiznya dengan negeri Pahang," katanya.

Menurut Musa lagi, dakwaan Shafie itu sebenarnya hanyalah satu cubaan untuk mengalihkan perhatian umum daripada hakikat bahawasanya semakin hari semakin ramai ahli Warisan yang mula meninggalkan parti tersebut atas pelbagai sebab dan faktor seperti ketidakpuasan hati mereka terhadap kurangnya amalan konsensus dan rasa hormat terhadap hasrat akar umbi.

"Terdahulu hari ini, sebanyak 16 cawangan Warisan di Kudat yang terdiri daripada 886 ahli dilaporkan meninggalkan Warisan dan menyertai BN kerana mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti tersebut. Sebelum ini, perkara yang sama turut berlaku di Kimanis dan Batu Sapi yang masing-masing melibatkan seramai 1000 dan 754 orang ahli," katanya lagi.

Musa juga menyatakan bahawa kempen Shafie penuh dengan retorik, janji-janji kosong yang kemungkinan besar tidak akan dapat mereka tunaikan langsung.

"Ketika ingin memenangi hati rakyat, mereka akan menjanjikan bulan dan bintang-bintang. Itulah pembangkang. Itulah Shafie Apdal," kata Musa.

6 Comments