Darell kecewa KDM berterusan tuduh Warisan beri IC kepada PATI
17:10 Oct 21, 2018  |  By SabahKini2
Darell kecewa KDM berterusan tuduh Warisan beri IC kepada PATI

Kaum Kadazandusun berulang kali menyatakannya (menyalahkan Warisan) seolah-olah kami melakukan sesuatu yang memusnahkan komuniti kami. Ia memang bodoh.

PENAMPANG: Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Darell Leiking berkata beliau akan keluar daripada parti itu sekiranya ada bukti bahawa Warisan memberi kad pengenalan (IC) kepada pendatang tanpa izin di Sabah.

Sambil menyatakan letih dan bosan dengan tuduhan yang dibuat terhadap parti itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan Warisan tidak melakukan aktiviti seperti itu untuk memberi pengesahan sebagai rakyat negara ini kepada pendatang tanpa izin.

Justeru, beliau menawarkan bantuan untuk membebaskan Sabah daripada masalah yang berlarutan sejak sekian lama.

“Kami tidak pernah beri IC (kepada pendatang tanpa izin). Warisan mahu membersihkan Sabah daripada pendatang tanpa izin.

“Kepada penyokong apa jua gabungan (pembangkang) dan orang tidak waras yang merasakan kami  (Warisan) memberi  IC kepada pendatang tanpa izin, seperti anda.

"Saya juga mahu menyelamatkan Sabah. Saya mahu membantu Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan karnival kerjaya dan pendidikan di sini hari ini.

Leiking, yang juga Ahli Parlimen Penampang, mengakui bahawa beliau kecewa dengan tuduhan berterusan yang dilemparkan terhadap parti itu, tambahan pula mereka yang begitu aktif dalam menyalahkan Warisan adalah daripada komuniti Kadazandusun beliau sendiri.

“Mereka (Kadazandusun) berulang kali menyatakannya (menyalahkan Warisan) seolah-olah kami melakukan sesuatu yang memusnahkan komuniti kami. Ia memang bodoh.

“Jika anda ada bukti (bahawa Warisan memberi IC kepada pendatang asing), saya mahu bekerjasama dengan anda. Saya akan jadi orang pertama untuk berganding bahu bersama anda sebab nampaknya anda ada bukti,” katanya.

Leiking berkata kerajaan baharu sedang berusaha untuk memperbetulkan masalah itu yang didakwanya diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini dan menggesa orang ramai supaya tidak menyerang Warisan kerana kesalahan kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan kritikan sekiranya kerajaan baharu gagal melaksanakan janjinya untuk membersihkan Sabah daripada pendatang tanpa izin.

“Hentam kami (kerajaan baharu) atas kegagalan kami untuk melaksanakan tugas kami. Hentam kami atas kegagalan kami untuk membawa kebaikan kepada Sabah.

“Tetapi janganlah hentam kami dengan pembohongan sebab penduduk Sabah mesti berhenti daripada berfikir seperti itu. Kita lebih baik daripada itu,” katanya. –Bernama

 

[ARTIKEL BERKAITAN PROJEK IC 2.0 SILA KLIK

Tunjuk bukti Warisan beri Mykad kepada pendatang tanpa izin- Darrel

Terbongkar! Projek IC kecoh di Tuaran didalangi Penerangan Pusat Warisan

Projek IC 2: Shafie bantu dapatkan MyKad yang kahwin pendatang asing

Projek IC: Menteri Warisan tuduh pembangkang tapi progam Warisan anjur

Kerajaan Warisan janji mudahkan permohonan sijil lahir warga asing kahwin orang tempatan

Mengapa kaunter JPN dikerah untuk Projek IC?- Dr. Jeffrey

 

 

 

4 Comments