BN sokong Hajiji Ketua Menteri lantik Yakub Khan wakil parti
11:02 Feb 13, 2023  |  By SabahKini2
BN sokong Hajiji Ketua Menteri lantik Yakub Khan wakil parti

BN Pusat membuat keputusan sokong Hajiji Ketua Menteri Sabah dan melantik Datuk Yakub Khan sebagai wakil perundingan Kerajaan Perpaduan Sabah. Semua ini tidak akan berlaku jika tiada Langkah Kinabalu!.

Hubungan Barisan Nasional dan Kerajaan GRS perlu dipulihkan. Kemelut berpanjangan tidak bagus untuk Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Satu pertemuan Setiausaha Agung BN bersama Ketua Menteri telah dibuat untuk menyelesaikan kemelut yang sepatutnya tidak berlaku susulan Langkah Kinabalu yang digerakkan oleh Bung Moktar Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah awal januari lalu.

Sehubungan itu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan dilantik sebagai wakil UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam melakukan rundingan dengan kerajaan Perpaduan Sabah.

Keputusan itu diambil selaras dengan ketetapan BN untuk memberi sokongan dan mendokong Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan yang telahpun membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

"Sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia telah dibentuk untuk menyelaras semua parti-parti yang mengasaskannya.

"Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan Sekretariat serupa di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, BN Sabah dipertanggungjawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan ini dapat direalisasikan sekali gus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui Kerajaan Perpaduan Sabah.

"BN Malaysia menamakan Datuk Yakub Khan selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk mewakili UMNO dan BN Sabah dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah," katanya.

Kerajaan Perpaduan sepatutnya digerakkan lebih awal seperti rombakan kabinet negeri namun bertukar apabila Bung Moktar, Shafie Apdal dan Peter Anthony (PKDM) membuat Langkah Kinabalu namun gagal dan meminta campur Anwar PM menyelesaikannya.

Anwar pula sebaliknya merestui 7 Adunnya untuk bergabung dengan menyokong Hajiji Ketua Menteri sekaligus menyaksikan Bung dan beberapa adun BN digugurkan dalam rombakan kabinet Hajiji apabila melantik Datuk Ir Shahelmey Yahya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Bung Moktar pula menganggap 5 adun yang menyokong GRS dan dilantik dalam kabinet sebagai bukan mewakili BN Sabah. Saranan BN Sabah ialah mengesyorkan 7 Adun untuk tindakan disiplin parti.

Tindakan pemecatan dan penggantungan 7 adun BN termasuk dua daripadanya sebagai Ahli Parlimen BN sudah tentu menjejaskan kedudukan BN dan Kerajaan Perpaduan.

Bagi 7 wakil rakyat BN itu mereka tak kisah sebarang bentuk tindakan dibuat kepada mereka namun yang rugi besar ialah BN Sabah.

Apa yang pasti Anwar mahu isu ini segera diselesaikan.

Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi yang juga TPM mungkin sebelum ini diberi maklumat yang salah berhubung tindakan ‘Langkah Kinabalu’ yang kononnya mendapat sokongan banyak parti di Sabah namun sebaliknya. Strategi BN menggunakan isu Perkara 6 (7) dan 6 (2) mendesak Hajiji menjadi Langkah ‘Pai Ulung’ kerana perkara itu pernah digunakan dalam perbicaraan kes perebutan Ketua Menteri antara Tan Sri Musa Aman dan Shafie Apdal. Shafie Apdal menang kes itu.

Langkah dan Strategi Bung adalah salah dan sangat terburu-buru yang sepatutnya tidak dilakukan sekarang dan membiarkan Kerajaan GRS-BN memerintah sehingga habis penggal. Langkah ini memudaratkan ramai pihak khususnya pekerja, pegawai kawasan yang bergantung pendapatan daripada kerja-kerja di bawah pejabat Perhubungan Adun. 4000 orang pekerja kawasan bakal terjejas pendapatan. 

Pelantikan Datuk Yakub Khan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang lebih sederhana dan dilihat sebelum ini tidak bersetuju dengan Langkah Bung mungkin menggambarkan apakah ada perubahan tampuk kepimpinan Sabah selepas pemilihan parti nanti. Yakub perlu menyelamatkan ribuan petugas parti. 


Yakub, Raimi dan beberapa adun BN sebelum ini menyokong Hajiji Ketua Menteri namun
kembali menyokong Bung Moktar atas sebab dasar Parti

UMNO BN Sabah sudah kehilangan banyak kerusi di kawasan KDM yang kini dikuasai oleh STAR, PBS, PBRS dan UPKO. Tindakan mereka tidak menyertai BN dan Warisan untuk cubaan penggulingan Ketua Menteri menunjukkan parti berasaskan KDM menolak BN dan Warisan. Kekalahan BN di Parlimen Beluran juga menunjukkan jika perkara ini tidak ditangani BN akan tidak relevan lagi di kawasan KDM dan mungkin merebak ke tempat lain. BN Sabah tidak boleh mendabik dada. 

Sokongan Adun Sabah yang kini mencecah 52 orang termasuk 3 Adun Warisan yang melompat menjadi calon bebas pasti mengukuhkan lagi kedudukan Hajiji.Ini dilaporkan kemungkinan 3 lagi Adun Warisan bakal mengumumkan keluar parti dan 6 lagi dalam radar. Ini tidak termasuk beberapa Adun BN yang ‘U-turn’ menyokong Hajiji.

Pelancaran parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) 5 Februari lalu yang diambil alih oleh Hajiji Ketua Menteri bersama bekas Adun Bersatu sebagai sebuah parti tempatan pasti akan lebih menyukarkan BN. Isu perkara 6 (7) yang digunakan Warisan itu dengan sendirinya terpadam.

Diharap pelantikan Datuk Yakub Khan segera menyelesaikan kemelut ini. Rakyat Sabah sudah bosan dengan kemelut politik berpanjangan, rampasan kuasa, penggulingan ketua menteri dan lompat parti.

Sabah mahu pembangunan. Sebarang bentuk perubahan kerajaan baharu mestilah diadili dalam Pilihan raya negeri akan datang. Bukan Penggulingan!

 

4 Comments